Kecederaan pada ligamen di bahagian pergelangan kaki atau buku lali adalah kecederaan yang agak lazim dialami oleh kebanyakan atlet dan orang yang aktif bersukan.
Kecederaan yang digambarkan oleh anda merupakan kecederaan ligamen pada sendi pergelangan kaki yang mana paling lazim berlaku melibatkan kecederaan pada Ligamen Anterior Talo-fibular (ATFL) dan pada kebanyakan keadaan melibatkan juga Ligamen Calcaneo-fibular (CFL).
Kira-kira 90 peratus daripada kecederaan sendi buku lali berlaku di bahagian tepi luar, sendi (lateral) melibatkan ATFL dan CFL dan 10 peratus lagi berlaku di bahagian tepi dalam, sendi (medial).
Kedua-dua ligamen ini terletak di bahagian tepi luar sendi buku lali dan ATFL di bahagian atas atau CFL bahagian bawah.
Kecederaan pada ligamen-ligamen ini berlaku disebabkan kedudukan terpelecok pada sendi buku lali sama ada semasa bermain atau berjoging di permukaan yang tidak rata.
Sekiranya simptom yang dialami merupakan kebengkakan yang berterusan, sakit dan perasaan seolah sendi tersebut longgar, maka ini menunjukkan bahawa terdapat koyakan yang serius pada kedua-dua ligamen ATFL dan CFL.
Rawatan yang sewajarnya boleh diperoleh dengan berjumpa dengan pakar ortopedik tetapi pemulihan bagi kecederaan ini dijangkakan akan memakan masa antara enam minggu hingga tiga bulan.
Rawatan awal termasuklah rehat, rawatan ais, balutan kain atau penganduh (splinting) sendi tersebut selain daripada menjalani fisioterapi secara berterusan.
Akan tetapi sekiranya masih terasa ‘longgar’ pada sendi ini, pakar ortopedik akan mencadangkan kepada anda untuk menjalani pembedahan di mana pemulihan terus boleh dilakukan ke atas ligamen yang tercedera atau koyak melalui prosedur yang dinamakan ‘Modified Bostrom Procedure’.
Kesan jangka masa panjang ke atas sendi yang longgar adalah kerosakan rawan yang lebih cepat berbanding dengan sendi yang tidak tercedera, atau osteoartritis sendi buku lali.
Oleh itu adalah dinasihatkan agar anda mendapatkan rawatan dan nasihat pakar yang berkenaan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas lagi tentang rawatan khusus masalah berkenaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan