TETAMU

Khamis, 2 Oktober 2014

Kehilangan

Kehilangan
Menimbulkan ketakutan
Membangkitkan kegusaran
Melemahkan kekuatan


Kehilangan
Mungkin masa
Mungkin percaya
Mungkin manusia



Kehilangan
Gelap gelita
Tiada cahaya
Diam sahaja


Kehilangan
Sudah dikata
Belum dikota
Puisi tercipta

Isnin, 29 September 2014

Humaira

Humaira
Sudah lama tidak bersua
Hanya mendapat tahu berita
Emosinya tidak terjaga
Ingin berkejar ke sana
Tapi diri hilang daya
Yang sedia ada sudah menghirup semua


Humaira
Bersabarlah dengan dunia
Ini gelanggang pancaroba


Humaira
Jasad ini mampu berkelana
Sampaikan saja apa jua cerita
Kita hadapi bersama


Humaira
Jika jasad ini tiada
Ingatlah Allah sentiasa ada
Kau ku tidak ku terjaga
Ku minta pada Maha Esa
Pelihara engkau sampai ke syurga

Selasa, 13 Mei 2014

Kangkang Buana

Madah tika langit terbuka
Bicara hamba dengan Pencipta
Menadah tangan penuh dosa
Menunduk kepala sang pendusta

Tidak pernah bertentang mata
Bila bertentang tenang wajahnya
Duduk diam seribu bahasa
Tiada apa peroleh darinya

Bila disoal apa sebabnya
Turun ilham alam jawapannya
Lihat kembali cerah langitnya
Langkah berani lurus jalannya

Entah bila beduk berbunyi
Bukan tanda manusia berhenti
Ada lagi masih menyanyi
Mendayu lagu emas dan kati

Mengapa ada hitam dan putih
Yang terbuang atau terpilih
Masih mencuba atau letih
Pasti ada yang selisih

Lenggang si cantik rupa
Menarik arjuna tanpa dipaksa
Lenggang si buruk rupa
Dalam sembunyi pelihara mahkota

Merenung kuman dan kaca
Terbeliak bulat melihat rama-rama
Gajah lalu di depan mata
Tepinya ada sang rusa

Setiap jantung mula berirama
Tidak harmoni tidak senada
Mungkin guna biola lama
Digesek terjaga dari lena


Isnin, 12 Mei 2014

Bukan Sempurna

Alhamdulillah, terbuka hati kembali menulis
Ruang yang dulu aku ekspresi rasa
Berkenaan Allah Maha Esa
Berkenaan Rasulullah SAW Junjungan Besar kita
Berkenaan Islam agama kita
Berkenaan mak abah yang ku cinta
Berkenaan adik beradik yang ku sayang
Berkenaan rakan-rakan sepermainan
Berkenaan guru-guru, alam dan persekitaran manusia

Kenapa pulang ke sini
Kerna aku bukan sempurna

Apa pula kali ini
Kerna aku bukan sempurna

Tahu bermadah bila ilham tiba
Hilang madah bila ada yang tak kena

Menyusun kata tapi takut terasa
Berehat seketika merumus perkara
Perkara yang sudah lama
Dipendam mungkin dipandang sama

Setiap orang punya cita-cita
Orang yang punya misi hidupnya
Membantu apa yang terdaya
Semoga nanti mampu berjaya

Merenung kembali apa yang berlalu
Cepat-cepat jari menjadi laju
Tuliskan kembali satu persatu
Banyak kerja yang menunggu

Merancang dengan bersungguh
Namun ada saja yang tertangguh

Terlalu lama untuk menuai usaha
Akhirnya tidak bertahan lama

Mungkin sejuta untuk diluah
Hasilnya seakan tidak berbuah

Maaf aku bukan sempurna
Mampu memberi rasa selesa

Maaf aku bukan sempurna
Memandu semua dengan berjaya

Maaf aku bukan sempurna
Menjaga apa yang semua rasa

Maaf aku bukan sempurna
Mengheret semua membuang masa

Maaf aku bukan sempurna
Menghukum semua terpalit dosa

Maaf bukan sekadar ku pinta
Apa yang diminta aku terdiam sahaja

Kita punya usaha
Allah punya kuasa

Rojak rasa itu sementara
Moga tenang bila ke sana