TETAMU

Khamis, 17 Mac 2011

ISU KAFETARIA KOLEJ KERIS MAS


Sila baca entri ini dengan pemikiran seorang yang intelektualnya tinggi, rohaninya bersih, jasmaninya sihat dan emosinya stabil.


Entri ini hanya merupakan pandangan peribadi dan tidak mempunyai apa-apa agenda tersembunyi.


BERANI KERANA ALLAH, ALLAH ITU MAHA BENAR.


ISU KAFETARIA KOLEJ KERIS MAS

Pemilik tender kafetaria Kolej Keris Mas seharusnya berbangga kerana keistimewaannya yang tersendiri yang terjamin akan keuntungannya.

Pertama : Jumlah pelajar Kolej Keris Mas yang mencecah 2 000 orang

Kedua : Jumlah staf Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang banyak ditempatkan di sekitar Kolej Keris Mas

a) Pejabat Pengurusan Kolej Keris Mas
b) Pejabat Kor SUKSIS UKM
c) Pejabat Pertubuhan Alumni UKM
d) Pejabat Perhubungan Alumni UKM
e) Pejabat Unit Zakat UKM
f) Pejabat Unit Audit Dalam UKM
g) Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) UKM
h) Pejabat Yayasan Canselor
i) Pejabat Hubungan Industri
j) Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat
k) Pusat Pembangunan Akademik
l) Unit Kenderaan UKM
m) Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM
n) Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) UKM
o) Kompleks SUKSIS & PALAPES
p) Perumahan Bukit Puteri
q) Kiffah Travel & Tours
r) Semporna IT Technologies
s) Bakery
t) H-Mart
u) Pekerja kontrak pembinaan, pembersihan
v) Institut Kajian Etnik (KITA)

Dari a) ke w) dianggarkan mencecah 1 000 orang.

Ketiga : Satu-satunya kafetaria yang beroperasi sepenuh masa (pagi hingga malam) ditempatkan.

Keempat : Kedudukannya yang jauh dari pesaing (kafetaria berdekatan). 

Ini bermakna kafetaria Kolej Keris Mas akan sentiasa menerima kunjungan pelanggan yang ramaiterutamanya ketika makan tengah hari.



PENGAMBILALIHAN KAFETARIA OLEH PIHAK UKM HOLDINGS

Pengambilalihan kafetaria oleh UKM Holdings melalui pihak Puri Pujangga bermula pada sesi 2009/2010. Puri Pujangga tidak dijangka sama sekali mendapat tender kafetaria Kolej Keris Mas. Berikut adalah kelemahan Puri Pujangga yang dapat dilihat dari kaca mata penulis :


Pertama : Polisi kewangan yang terikat

Rasanya semua pelajar dan kakitangan UKM juga bersetuju bahawa polisi kewangan UKM dari segi pelaksanaannya amat-amat meragukan dan timbul ketidaktelusan dari segi akauntabilitinya. UKM Holdings merupakan anak syarikat UKM tetapi polisi kewangan adalah sama dengan UKM. Justeru pengaliran modal pusingan amatlah menyedihkan kerana tiada ruang yang fleksibel dalam menjana keuntungan. Pembayaran bahan mentah kepada pembekal bergantung kepada kuota pengeluaran wang mengikut hari. 


Kedua : Tidak berfungsi sebagai sebuah syarikat berdaya saing

Syarikat yang berdaya saing adalah syarikat yang sentiasa mengutamakan pelanggannya. Tetapi Puri Pujangga seolah-olah dijadikan sama taraf seperti urusetia program di mana hanya melaksanakan berdasarkan arahan yang tidak didasari pada realitinya. Syarikat yang berdaya saing adalah syarikat yang jelas matlamatnya iaitu adanya perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.


Ketiga : Pengurusan yang sangat lemah

Pengurusan yang sangat lemah datangnya dari perancangan yang lemah. Puri Pujangga adalah anak syarikat UKM Holdings yang telah lama beroperasi. Puri Pujangga berpengalaman dalam dunia perniagaan dan korporat seharusnya masa pengambilalihan yang dikatakan terlalu singkat tidak menjadi masalah kerana perancangan yang tersusun dengan teliti dan terperinci mampu mengelakkan kesemuanya. Pertukaran pengurus tidak menjadi persoalan pokok kerana lazimnya sesebuah syarikat akan mempunyai pelan induk pembangunan perniagaannya.


Keempat : Kegagalan memanfaatkan kelebihan

Pelbagai kelebihan dimiliki UKM Holdings melalui Puri Pujangga terutama dari segi pengalaman dan kekayaan ilmu berkaitan pengurusan makanan dan teknologi makanan. Amat memalukan apabila Akademik Latihan Makanan (ALKEM) diletakkan di bawah UKM Holdings. Ini bermakna hanya teori sahaja yang bagus tetapi dari segi praktikalnya cukup lemah. 



KESIMPULANNYA KEGAGALAN PIHAK KAFETARIA ADALAH MEMENUHI KEHENDAK PELANGGAN


Pertama : Kualiti yang baik

Kualiti yang dimaksudkan merangkumi aspek-aspek berikut :

a) Kesedapan (walaupun subjektif tetapi sekurang-kurangya mempunyai standard rasa yang sama) setiap makanan dan minuman yang konsisten

b) Variasi makanannya terhad sehingga pelajar terpaksa memakan menu yang sama setiap hari.

c) Mutu perkhidmatan; masa : masa menunggu giliran penyediaan makanan, masa menunggu pembayaran walaupun terdapat 3 mesin kira. (pelanggan beratur bukan bermakna ia adalah rebutan ramai)

d) Mutu perkhidmatan; layanan mesra pelanggan : Para pekerja yang bermuka masam, ada kalanya ambil endah tak endah bila ditanya, kurangnya budi bahasa yang sepatutnya.


Kedua : Kuantiti yang mencukupi

a) Pihak kafetaria telah beroperasi melebihi setahun. Seharusnya pihak pengurusannya dapat melihat trend pembelian makanan mengikut jenis masakan dan masa puncak atau biasa. Kuantiti makanan mestilah seiring dengan jumlah pelanggan.

b) Kuantiti pekerja yang dilihat tidak mencukupi pada satu-satu masa telah menjejaskan kualiti pengendaliannya.


Ketiga : Harga yang berpatutan

Harga yang patut adalah harga yang mampu dibeli oleh majoriti pelanggan yakni pelajar. Walaupun dibekalkan dengan harga siling oleh UKM, tetapi pengurusan bahan mentah baik menjamin harga yang baik. Kenaikan harga petrol dan bahan mentah utama (tepung, minyak, gula) sememang di luar kawalan. Adakah pihak Puri Pujangga lupa bukan pihak Puri Pujangga sahaja yang menerima tempiasnya tetapi kesemua pengusaha makanan turut terkesan dari segi operasi mereka. Persoalannya Mengapa hanya Puri Pujangga sahaja yang menaikkan harga makanan terbabit. Bahan mentah dibeli secara pukal dan dijual secara berasingan. Contoh paling mudah adalah ayam. Ayam dibeli Puri Pujangga mengikut timbangan berat (kilogram; kg) dan dijual semula mengikut ketul. Sekilo ayam mentah mencecah RM 6.50 dan sekilo ayam boleh mencapai hampir 10 ketul. 1 ketul dijual pada RM 2.00. Sekilo ayam sahaja mendapat RM 20. Keuntungan kasar yang dapat dilihat adalah RM 20 – RM 6.50 = RM 13.50. Kiraan kos lain-lain seperti sewa bulanan, gaji pekerja jika dicampurkan akan tetap memberi pulangan keuntungan. Banyak atau sedikit bergantung kepada kecekapan pengurusan. Yang pasti Puri Pujangga tidak akan rugi kerana kuasa membeli pelanggan masih kuat.




Di sini ada beberapa falsafah perniagaan yang ringkas tapi mudah difahami.


a) Pelanggan Adalah Keutamaan Peniaga

b) Berniaga makanan mesti sedap dan murah

c) Dapat tender kafe macam dapat loteri berjuta

d) Di universiti, pelanggannya bijak berkira-kira dan berbelanja

e) Kualiti identiti entiti

f) Perniagaan tanpa pesaing hebat umpama pembelahan nuklear



FALSAFAH PENULIS

“Penulis adalah pelanggan kafetaria”



Entri ini ditulis bukan untuk meraih sokongan atau bantahan dari mana-mana pihak tetapi merupakan personaliti penulis. Entri ini tidak diserta dengan fakta, data dan angka kerana berpendapat pandangan penulis adalah mengajak pembaca berfikir dengan lebih matang dan dewasa. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang komen dan maklum balas.

Tiada ulasan: